BATU KURAU - Seramai 1,200 penunggang basikal bukit menggegarkan Batu Kurau bermula semalam sempena Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2.0 yang diadakan di sekitar kawasan Batu Kurau melibatkan kayuhan sejauh 45 kilometer.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, program itu dianjurkan pejabat Adun Batu Kurau dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan.

Menurutnya, semalam diadakan acara bagi kategori Country Olympic (XCO) melibatkan kategori lelaki master ABCD, wanita terbuka, lelaki terbuka, elit lelaki dan lelaki junior.

“Penyertaan pada tahun ini bagi kategori XCO melibatkan peserta dari Thailand dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Malah bagi kategori Cross Country Marathon (XCM) yang melibatkan laluan sejauh 45 kilometer menerima lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara, “ katanya selepas perasmian semalam.

Muhammad Amin yang juga Adun Batu Kurau berkata, pada tahun ini penganjur turut menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM58,000 bagi kategori XCO dan XCM selain cabutan bertuah dan cenderahati daripada pihak penaja.

Beliau berkata, melalui penganjuran acara itu secara tidak langsung membantu mempromosi pekan Batu Kurau serta meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Selama, Nasaruddin Mawi berkata, penganjuran ini dilihat dapat membangunkan sukan basikal bukit dalam kalangan anak muda Batu Kurau malah dilihat mampu dijadikan aktiviti riadah yang baik bagi warga belia di kawasan ini.

“Aktiviti sukan basikal bukit ini dilihat mampu dijadikan sukan untuk mengeratkan perpaduan sesama masyarakat malah penganjuran sukan ini di pekan Batu Kurau memungkinkan tertubuhnya pasukan basikal bukit yang dapat bertanding di peringkat negeri dan kebangsaan dengan membawa nama Batu Kurau kerana komitmen tinggi Datuk Muhammad Amin,” katanya.

 

                      

 

SUMBER SINAR HARIAN