Pemandangan dari puncak Gunung Kurau

Batu Kurau mempunyai lebih dari seratus buah kampung! Antara kampung yang terdapat di Batu Kurau ini adalah Kampung Titi Kasai, Kampung Pondok Tanjung, Kampung Sungai Akar, Kampung Becah dan Kampung Pantai Besar Batu Kurau. Antara sekolah yang terkenal di Batu Kurau ialah SMK Dato Kamaruddin, manakala sekolah yang lain terletak agak jauh antara satu sama lain. 

Kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau sudah terkenal bagi penduduk di Taiping dan sekitarnya. Anak kecil anda boleh mandi di kawasan air terjun yang cetek dan berpasir, manakala yang remaja pula boleh menguji keberanian dengan mandi di air dalam dan berbatu. Biasanya kanak-kanak kampung akan melompat dari jambatan besi ke air. Selain itu terdapat juga kawasan perkelahan Lata Air Hitam dan Jelai. Kesejukan dan kejernihan airnya pasti tidak boleh dilupakan oleh setiap pengunjung yang berkunjung. 

Permandangan di Telaga Tujuh, Repoh, Batu Kurau

Batu Kurau juga terkenal dengan keunikan Telaga Tujuh, yang asal usulnya dikatakan mempunyai tujuh buah telaga di sungai di situ. Menurut penduduk tempatan, Telaga Tujuh terhasil akibat daripada turunnya tujuh orang puteri dari kayangan. Tetapi kini, telaga tersebut tinggal tidak sampai tujuh buah kerana telah ditimbus oleh pasir sungai.

Di sini juga terdapat sebuah Pusat Dirasat Al Quran dan Tahfiz Batu Kurau yang dibina di atas sebidang tanah seluas satu ekar, yang terletak di Kampung Sempeneh Batu Kurau, Perak. Tanah dan sebahagian kos pembangunan Pusat Dirasat ini diwakafkan oleh Tuan Hj Mahmud Zuhdi Hj Din dan keluarga beliau pada awal tahun 2004. Tujuan pembinaannya adalah menempatkan pusat yang dapat melahirkan pelajar yang mahir membaca al Quran mengikut Qiraat yang betul, melahirkan pelajar yang dapat menghafaz al Quran dengan sempurna, melahirkan pelajar yang boleh memahami, mantafsir dan menghayati al Quran, melahirkan pelajar yang berakhlak, bertanggungjawab dan berwawasan dan melahirkan pelajar yang berkemampuan memimpin institusi pengajian alQuran. Ia juga membuka kelas pengajian untuk penduduk kampung belajar membaca al Quran. Selain daripada itu terdapat juga Pusat Tahfiz Nurul Iman yang dirasmikan Majlis Pecah Tanahnya oleh Menteri Besar Perak, YB Dato' Seri Zamry Abd Kadir pada 23 Januari 2011.

Di sini juga terkenal denga Silat Gayung Fatani. Seni silat ini adalah ilmu Silat Melayu yang diturunkan oleh pengasasnya iaitu asaskan Syeikh Abdul Rahman Tahir kepada anaknya juga seorang guru agama iaitu Haji Ramli bin Abdul Rahman yang dikenali sebagai Tok Yah Ramli. Anak murid Haji Ramli Bin Abdul Rahman bernama Haji Abdullah Darus dan Haji Mat Isa (Awang Pendekar) telah membuka dan mengembangkan ilmu persilatan ini ke Batu Kurau, Perak dalam tahun 1948.

Selain daripada berniaga, masyarakat di sini juga kebanyakannya bekerja sebagai petani dan menternak binatang untuk tujuan komersial. Terdapat banyak dusun buah-buahan yang terkenal di sekitar kawasan ini dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada para pekebun.



Bagi yang ingin berkunjung ke Batu Kurau, selain daripada kawasan perkelahan Air Terjun Kampung Sempeneh Cempaka Batu Kurau; terdapat satu lagi tempat yang boleh dikunjungi. Paling best adalah kepada kaki pancing. Kurau Stone Fishing & Highland Stay: D'Bukit Homestay adalah tempat yang boleh dikunjungi untuk tujuan itu. Selain daripada memancing, aktiviti ATV All-Terrain Vehicle), aktiviti makan-makan di restoran yang berkonsepkan gazebo, pakej motivasi dan aktiviti lasak seperti flying fox.

 

 

Antara anak kelahiran Batu Kurau yang berjaya menepa nama mereka adalah Saudara Jailani Abu Hassan (Jai), salah seorang pelukis Malaysia yang tersohor; Saudara Aloy, salah seorang kartunis popular tanah air dan Usu Azha Haji Hamzah, penulis, bekas editor dibeberapa majalah dan insan disebalik tabir beberapa buah drama.

 

 

 

                                                                                                                                                                                                            

 

 

 

 

 

BATU KURAU - Penemuan bunga Rafflesia atau bunga pakma di daerah Batu Kurau, oleh seorang pekebun menggemparkan penduduk setempat, sekali gus bakal menjadikan kawasan Batu Kurau sebagai salah satu lokasi yang menarik di sini.

Melalui penemuan bunga itu penduduk kini boleh melihat dengan dekat tumbuhan tersebut di bukit kira-kira lapan kilometer dari kebun seorang penduduk di sini.


Jumpa semasa tebas semak

Pekebun tersebut Md Bakri Bahri, 43, berkata, dia tidak sangka menemui spesies bunga terbesar di dunia semasa menebas semak di kawasan kebun miliknya kira-kira jam 9.30 pagi, minggu lalu.

"Saya terkejut kerana bukan mudah untuk melihat tumbuhan itu dengan lima kelopak besar yang sedang mekar berhampiran bongkah batu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, selepas melihat tumbuhan itu, dia terus memaklumkan kepada rakan-rakannya.

“Dalam masa sama saya juga memaklumkan penemuan spesies itu kepada Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau, Zolkurnain Abdullah dan Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria,” katanya.


Sepakat beri nama Rafflesia Batu Kurau

Sementara itu, Muhammad Amin berkata, hasil penemuan pertama itu, mereka sepakat untuk menamakan bunga tersebut Rafflesia Batu Kurau.

“Penemuan bersejarah itu bakal menjadi satu lagi daya tarikan di daerah Batu Kurau dan pihaknya kini masih dalam proses perbincangan dengan pemilik tanah untuk menjadikan kawasan itu sebagai salah satu produk pelancongan.

“Bertepatan dengan rancangan kami yang akan melaksanakan  acara dunia di Batu Kurau pada  27 hingga 29 September ini, iaitu Batu Kurau International Mountain Bike Challenge2014 dan penemuan bunga Rafflesia Batu Kurau ini akan memberi impak yang besar serta menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke sini,” katanya.


Laluan ke lokasi penemuan bunga akan dibaik pulih

Dalam perkembangan sama, Muhammad Amin berkata, laluan ke lokasi penemuan bunga terbabit juga akan dibaik pulih untuk memudahkan orang ramai mengunjungi dan melihat sendiri tumbuhan itu.

“Saya juga akan pastikan Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan produk pelancongan di Batu Kurau khususnya dan di negeri ini amnya,” katanya.

Muhammad Amin yang juga merangkap Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau berkata, pihaknya sudah mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Perhutanan untuk memastikan Rafflesia Batu Kurau ini hidup subur.

"Dalam masa sama kakitangan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak turut melawat kawasan populasi Rafflesia di Batu Kurau dan mereka membuat pagar serta meletakkan tanda sementara untuk melindungi populasi terbabit supaya tidak terancam.

“Ini kerana ada kudup Rafflesia yang dijangka akan berkembang lebih kurang dua hingga tiga minggu. Bunga Rafflesia akan berkembang mekar hanya dalam masa enam hingga tujuh hari sahaja, kemudian akan layu, hitam dan mula mereput,” katanya.

Dalam masa sama Muhammad Amin berkata, putik Rafflesia tumbuh pada akarnya sebelum ia kembang.

“Orang ramai yang ingin melihat spesies bunga Rafflesia ini dinasihatkan supaya tidak memijak akar dan menyentuh kelopaknya kerana ia akan merosakkan tumbuhan itu,” katanya

 

sumber SINAR HARIAN