Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Petani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping). Dari itu tidak heranlah jika majoriti penduduknya bercakap dalam Bahasa Petani.
Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian.
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Petani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Petani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Petani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Petani seperti di bawah :
"Ayun pak pek pak pong, Gulai asam pedas, Pakai baju tampung, Lenggang bagai duras, Duras buaya kampung, Hilir-hilir mudik, Mana kampung kita, Balik sana bukit!"
Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Petani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Petani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.
Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.