MERCU TANDA PEKAN BATU KURAU

 

Durian dari mana ni? Ini durian Batu Kurau.

Ungkapan itu pasti kerap didengar sejak dua minggu lalu apabila raja buah itu mula luruh di beberapa kampung di Batu Kurau.

Tiada kompromi lagi, buah eksotik inilah yang memperkenalkan nama Batu Kurau kepada umum, khususnya dalam kalangan penggemar durian.

Keaslian rasanya yang lain daripada lain hingga mendapat jolokan durian kampung terbaik menjadi ikon kepada istilah ‘durian Batu Kurau’ itu sendiri.

Pengalaman penulis sendiri ketika merasainya mendapati, tekstur isinya lebih halus, berlemak, tidak begitu manis dan ada ketikanya terbit rasa pahit di hujung lidah.

Ya, durian Batu Kurau memang mempunyai rasanya yang tersendiri hinggakan kebanyakan mereka yang sudah merasainya tidak akan memilih durian dari tempat lain lagi.

Keaslian durian Batu Kurau yang digelar durian bukit ini sedikit sebanyak ada kaitannya dengan struktur muka bumi.

Jika diimbas sejarahnya, majoriti penduduk Batu Kurau yang dibuka sejak 1850 an lagi terdiri daripada orang Melayu berketurunan Pattani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, selatan Thailand.

Sememangnya orang Pattani suka memilih tempat strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mana diketahui memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian.

sumber: SINAR HARIAN