BATU KURAU - Penemuan bunga Rafflesia atau bunga pakma di daerah Batu Kurau, oleh seorang pekebun menggemparkan penduduk setempat, sekali gus bakal menjadikan kawasan Batu Kurau sebagai salah satu lokasi yang menarik di sini.

Melalui penemuan bunga itu penduduk kini boleh melihat dengan dekat tumbuhan tersebut di bukit kira-kira lapan kilometer dari kebun seorang penduduk di sini.


Jumpa semasa tebas semak

Pekebun tersebut Md Bakri Bahri, 43, berkata, dia tidak sangka menemui spesies bunga terbesar di dunia semasa menebas semak di kawasan kebun miliknya kira-kira jam 9.30 pagi, minggu lalu.

"Saya terkejut kerana bukan mudah untuk melihat tumbuhan itu dengan lima kelopak besar yang sedang mekar berhampiran bongkah batu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, selepas melihat tumbuhan itu, dia terus memaklumkan kepada rakan-rakannya.

“Dalam masa sama saya juga memaklumkan penemuan spesies itu kepada Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau, Zolkurnain Abdullah dan Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria,” katanya.


Sepakat beri nama Rafflesia Batu Kurau

Sementara itu, Muhammad Amin berkata, hasil penemuan pertama itu, mereka sepakat untuk menamakan bunga tersebut Rafflesia Batu Kurau.

“Penemuan bersejarah itu bakal menjadi satu lagi daya tarikan di daerah Batu Kurau dan pihaknya kini masih dalam proses perbincangan dengan pemilik tanah untuk menjadikan kawasan itu sebagai salah satu produk pelancongan.

“Bertepatan dengan rancangan kami yang akan melaksanakan  acara dunia di Batu Kurau pada  27 hingga 29 September ini, iaitu Batu Kurau International Mountain Bike Challenge2014 dan penemuan bunga Rafflesia Batu Kurau ini akan memberi impak yang besar serta menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke sini,” katanya.


Laluan ke lokasi penemuan bunga akan dibaik pulih

Dalam perkembangan sama, Muhammad Amin berkata, laluan ke lokasi penemuan bunga terbabit juga akan dibaik pulih untuk memudahkan orang ramai mengunjungi dan melihat sendiri tumbuhan itu.

“Saya juga akan pastikan Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan produk pelancongan di Batu Kurau khususnya dan di negeri ini amnya,” katanya.

Muhammad Amin yang juga merangkap Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau berkata, pihaknya sudah mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Perhutanan untuk memastikan Rafflesia Batu Kurau ini hidup subur.

"Dalam masa sama kakitangan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak turut melawat kawasan populasi Rafflesia di Batu Kurau dan mereka membuat pagar serta meletakkan tanda sementara untuk melindungi populasi terbabit supaya tidak terancam.

“Ini kerana ada kudup Rafflesia yang dijangka akan berkembang lebih kurang dua hingga tiga minggu. Bunga Rafflesia akan berkembang mekar hanya dalam masa enam hingga tujuh hari sahaja, kemudian akan layu, hitam dan mula mereput,” katanya.

Dalam masa sama Muhammad Amin berkata, putik Rafflesia tumbuh pada akarnya sebelum ia kembang.

“Orang ramai yang ingin melihat spesies bunga Rafflesia ini dinasihatkan supaya tidak memijak akar dan menyentuh kelopaknya kerana ia akan merosakkan tumbuhan itu,” katanya

 

sumber SINAR HARIAN